Thursday, 18 September 2014

ZAMAN PENJAJAHAN bRITISH DI TANAH MELAYU

ZAMAN PENJAJAHAN BRITISH DI TANAH MELAYU


Gambar 1: Peta Tanah Melayu
Faktor Campur Tangan British di Tanah Melayu
a.    Faktor Ekonomi

Perkembangan Revolusi Perindustrian di Britain pada pertengahan abad ke-19 telah mendorong pihak British untuk mencari tanah jajahan baru supaya dapat membekalkan bahan mentah yang diperlukan oleh kilang-kilangnya dan mencari pasaran terhadap “barangan siap” yang dihasilkan oleh kilang-kilang di Britain.
Permintaan terhadap bijih timah semakin meningkat akibat kemajuan dan perkembangan industri mengetin makanan di Eropah. Longgokan bijih timah di Cornwall England yang semakin berkurangan dan tidak bermutu telah meresahkan pihak British. Oleh sebab itu, pihak British telah memulakan campur tangannya untuk menguasai negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan kerana negeri tersebut kaya dengan bijih timah yang berkualiti tinggi. Permintaan dan harga bijih timah yang tinggi di Eropah telah menambah minat pihak British untuk campur tangan British di negeri-negeri tersebut.

b.  Masalah Huru-Hara di Negeri-Negeri Melayu

Menjelang tahun 1860-an dan 1870-an, negeri-negeri seperti Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan berada dalam keadaan tidak stabil kerana berlakunya masalah huru hara seperti perebutan takhta kerajaan, pergaduhan Kongsi Gelap Cina, masalah perlanunan dan perang saudara yang tidak terkawal.
Di Perak telah berlaku kekacauan akibat perebutan takhta antara Raja Abdullah dan Sultan Ismail selepas kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871. Keadaan bertambah rumit apabila berlakunya pergaduhan Kongsi Gelap Cina Ghee Hin dan Hai San yang telah membawa kepada berlakunya Perang Larut I, II dan III (1861-1874).
Di Selangor pula berlakunya pertelingkahan di antara Raja Abdullah dan Raja Mahadi (1867-1873) kerana merebut Daerah Klang yang kaya dengan bijih timah. Sementara itu, di Sungai Ujong telah tercetus pergaduhan antara Datuk Kelana dan Datuk Bandar berkaitan hak memunggut cukai di Sungai Linggi, Sungai Ujong.
Keadaan huru-hara yang berlaku ini telah  menjejaskan aktiviti perdagangan di Negeri-negeri Selat, mengancam keselamatan nyawa dan harta benda serta membantutkan pengeluaran bijih timah. Syarikat British di Negeri-negeri Melayu menanggung kerugian kerana mereka telah banyak melabur modal sedangkan perniagaan tidak dapat dijalankan. Justeru itu, saudagar-saudagar British di Negeri-negeri Melayu telah menghantar surat rayuan ke London, mendesak Kerajaan Inggeris supaya meluaskan kekuasaannya di Negeri-negeri Melayu agar kepentingan mereka terus terpelihara.

c.    Peranan Sir Andrew Clarke
Gambar 2: Sir Andrew Clarke
Sir Andrew Clarke telah ditugaskan untuk menyiasat masalah sebenar yang berlaku di Negeri-negeri Melayu pada November 1873. Beliau juga dikehendaki menyediakan satu laporan lengkap tentang situasi Negeri-negeri Melayu dan mencadangkan langkah-langkah yang seharusnya diambil oleh Kerajaan Inggeris bagi memulihkan keamanan serta memelihara kepentingan British di Negeri-negeri tersebut.
      Walau bagaimanapun, Sir Andrew Clarke telah bertindak melebihi arahan yang diberikan oleh Lord Kimberley. Atas inisiatif atau daya usaha sendiri, Clarke telah campur tangan di Perak pada Januari 1874 untuk menyelesaikan pertelingkahan politik yang berlaku tanpa mempedulikan arahan Pejabat Tanah Jajahan Inggeris di London. Dengan itu, bermulalah campur tangan British secara rasmi di Perak dengan termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Selepas itu British terlibat campur tangan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

d.    Faktor Kemanusiaan
Gambar 3: Sir Frank Swettenham
Sir Frank Swettenham menggunakan alasan “tanggungjawab kemanusiaan” untuk campur tangan di Negeri-negeri Melayu bagi menamatkan kekacauan sebagai jaminan keselamatan nyawa dan harta benda. Kerajaan British harus bertanggungjawab terhadap masalah di Negeri-negeri Melayu selaras dengan dasar Pax Britannica iaitu mewujudkan keamanan dalam Empayar Inggeris mulai tahun 1860-an. Justeru itu, kerajaan perlu bertindak membantu negeri-negeri yang disalahtadbirkan.
Walau bagaimanapun, faktor ini menimbulkan banyak keraguan dari pelbagai pihak. Kemungkinan besar ianya hanya “helah” pihak” British untuk campur tangan di Negeri-negeri Melayu.



Rujukan:
                  Dr. Ismail Said.(2010).Perkembangan Sejarah Negara.Selangor: Pernerbitan                         Multimedia Sdn.Bhd
                Sheela Abraham.(1993).Sejarah Perkembangan Negara.Kuala Lumpur:                          Penerbitan Fajar Bakti Sdn.Bhd


No comments:

Post a Comment