Monday, 22 September 2014

KESAN PENJAJAHAN BRITISH DI TANAH MELAYU
a.    Perkembangan sektor kesihatan bandar dan luar bandar
            Masyarakat Melayu sebelum kedatangan penjajah British kebanyakannya mengamalkan perubatan secara tradisional dan bergantung kepada pawang atau bomoh untuk mengubati penyakit. Penjajahan British di Tanah Melayu telah memperkenalkan sistem perubatan moden dengan adanya doktor, jururawat, klinik, palang merah dan pusat-pusat kesihatan. Penubuhan pusat-pusat kesihatan pada peringkat awal adalah untuk membantu mengubati pekerja-pekerja ladang dan juga penduduk tempatan yang mengidap penyakit Malaria, beri-beri, taun dan sebagainya. Walaupun pada peringkat awal ia tidak mendapat sambutan daripada penduduk Tanah Melayu, lama-kelamaan semakin ramai orang kampung telah mengunjungi dispensary atau pasukan perubatan bergerak untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan. Lama kelamaan pusat-pusat kesihatan ini telah berkembang daripada bandar ke kawasan luar bandar.

b.    Perkembangan sekolah-sekolah Vernakular Melayu dan Inggeris
                Setelah kedatangan penjajah British, beberapa sekolah vernakular diperkenalkan seperti penubuhan Penang Free School yang merupakan sekolah Inggeris pertama dibina di Tanah Melayu. Selain itu terdapat juga sekolah Melayu, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil dibina untuk kemudahan penduduk Tanah Melayu mendapatkan pendidikan. Walau bagaimanapun, kebanyakan sekolah-sekolah ini tertumpu di kawasan bandar. Manakala pendidikan tinggi bagi orang Melayu juga telah ditubuhkan oleh pihak British iaitu MCKK atau Malay College Kuala Kangsar (khas untuk golongan aristocrat Melayu) dan MPSI atau Maktab Pendidikan Sultan Idris.
  

Gambar 1: Maktab Pendidikan Sultan Idris

c.    Kewujudan kawasan bandar
              Masyarakat Tanah Melayu sebelum penjajahan British kebanyakannya tinggal di kawasan pedalaman, kampung-kampung dan juga di sepanjang sungai.. Kedatangan British telah mengubah lanskap atau demografi Tanah Melayu apabila wujudnya kawasan bandar akibat perkembangan pesat perlombongan bijih timah dan getah. Pihak British membina infrastruktur seperti kemudahan jalan raya, jalan keretapi serta pelabuhan. Kawasan ini juga dijadikan pusat pentadbiran British dengan kelengkapan telegraf, bangunan pentadbiran, sekolah dan sebagainya. Contoh bandar yang diwujudkan ialah Kuala Lumpur dan Jesselton atau Kota Kinabalu.


Gambar 2: Kuala Lumpur



Gambar 3: Jesselton atau Kota Kinabalu

c.    Kemunculan masyarakat majmuk
               Pihak British memberi ruang kepada orang Cina dan India untuk berhijrah ke negara ini pada suatu masa dahulu. Pada masa itu buruh-buruh daripada China dan India di bawa masuk ke Tanah Melayu untuk bekerja di lombong bijih timah dan ladang getah kepunyaan British. Suasana politik di negara asal yang tidak stabil menyebabkan buruh Cina dan India datang ke Tanah Melayu untuk mencari rezeki. Justeru itu, pada awal tahun 1920-an hingga 1930-an telah menyaksikan kemasukan buruh-buruh dari China dan India yang ramai ke Tanah Melayu. Bermula dari sinilah wujudnya masyarakat majmuk di Tanah Melayu dengan kehadiran orang Cina dan India yang akhirnya menjadi penduduk tetap Tanah Melayu.
 


 Gambar 4: Masyarakat Majmuk
Rujukan:
Lisa Yip Shukye & Jais bin Abdul Hamid.(2013).Sejarah Politik Malaysia Sehingga Abad Ke-20.Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd
Mohd. Zariat Abdul Rani.(2006). Kehadiran Barat Dan Kesannya Terhadap Kesusateraan Melayu. Pengajian Melayu Jld.17 


Perubahan yang dibawa oleh British Semasa Zaman Penjajahannya
        



a.    Dari segi politik
           Menurut Kassim Thukiman(2002), setelah kedatangan British di Tanah Melayu, kuasa Raja dan Sultan telah terjejas dan menjadi terhad. Raja atau Sultan hanya berkuasa dalam hal-hal yang berkaitan dengan adat istiadat Melayu dan agama Islam sahaja.
           British telah berjaya mentadbir dengan lancar melalui dasar pecah dan perintah kerana tiada lagi gangguan secara langsung daripada sultan dan pembesar tempatan. Dasar pecah dan perintah adalah kehendak British kerana mereka telah berjaya mengurangkan kuasa pembesar tempatan selain tidak melibatkan campur tangan daripada pembesar Melayu dalam politik. Penglibatan masyarakat setempat iaitu kaum Melayu di dalam bidang politik adalah terhad kepada jawatan rendah sahaja. Bagi kaum Cina dan India, mereka tidak terlibat secara langsung dalam politik Tanah Melayu dan ini memudahkan pentadbiran British mengikut kaum-kaum tersebut.
         
  b. Dari segi ekonomi
           Dasar ekonomi British melalui dasar pecah dan perintah telah mengasingkan setiap kaum mengikut aktiviti ekonomi yang tersendiri. Masyarakat tradisional Melayu telah melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi sara diri sebelum kedatangan pihak British lagi.
           Apabila berlaku perluasan kuasa oleh pihak British, sistem ekonomi komersial diperkenalkan dan masyarakat Melayu kekal mengusahakan kegiatan ekonomi sara diri. Melalui dasar ini, orang Melayu tetap ditempatkan dikediaman asal iaitu perkampungan atau luar bandar. Pihak British lebih menumpukan kegiatan ekonomi yang berorientasikan eksport Keadaan ini telah mendorong pelabur-pelabur asing datang ke Tanah Melayu dan membawa teknologi serta sistem pengurusan ekonomi yang lebih sistematik.
              Perkembangan perusahaan getah dan galakan daripada kerajaan British merupakan faktor penarikan yang menarik oran India ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi yang wujud dalam sektor ini kepada orang India adalah disebabkan oleh keengganan orang Melayu untuk bekerja diladang getah. Selain itu, dua buah perkhidmatan awam yang paling banyak menggunakan tenaga buruh India ialah Jabatan Keretapi dan Jabatan Kerja Raya juga menarik kehadiran orang India ke Tanah Melayu.
             British telah mengasingkan setiap kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India kepada penempatan dan corak ekonomi masing-masing. Melalui pengasingan ini, pihak British mudah untuk mengawal dan menghapuskan perpaduan semua kaum. Pecahan kaum ini juga akan memudahkan kerja mereka mengeksploitasikan hasil bumi Tanah Melayu melalui penarapan budaya dan cintakan negara asal mereka. Menurut Victor Purcell(1985), orang Cina yang tidak langsung memikirkan keuntungan kepada Tanah Melayu sebaliknya mereka diterapkan dengan nilai dan budaya negara asal mereka iaitu tradisi mengutamakan pelajaran dan mengekalkan kebudayaan serta identiti bangsa Cina.
          Dasar pecah dan perintah yang diterapkan oleh pihak British sengaja dibuat kerana pihak British hanya mahu menjaga kepentingan ekonomi mereka dan memudahkan lagi kerja mereka mengaut keuntungan diTanah Melayu melalui perah tenaga ketiga-tiga kaum ini.
     
 c. Dari segi sosial
          Kedatangan British ke Tanah Melayu telah membawa perubahan yang besar dari segi sosial seperti pembinaan jalan raya yang merentasi daerah pedalaman, kewujudan kawasan serta pembukaan bandar-bandar baru. Pengangkutan keretapi diperkenalkan di Tanah Melayu pada lewat kurun ke19 dan tujuannya adalah untuk mempercepatkan pengangkutan bijih timah dari kawasan lombong ke pelabuhan-pelabuhan di sepanjang pantai.

Rujukan
Lisa Yip Shukye & Jais bin Abdul Hamid.(2013).Sejarah Politik Malaysia Sehingga Awal Abad Ke-20.Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd
http://www.youtube.com/watch?v=Ez9tUFot-94


Thursday, 18 September 2014

ZAMAN PENJAJAHAN bRITISH DI TANAH MELAYU

ZAMAN PENJAJAHAN BRITISH DI TANAH MELAYU


Gambar 1: Peta Tanah Melayu
Faktor Campur Tangan British di Tanah Melayu
a.    Faktor Ekonomi

Perkembangan Revolusi Perindustrian di Britain pada pertengahan abad ke-19 telah mendorong pihak British untuk mencari tanah jajahan baru supaya dapat membekalkan bahan mentah yang diperlukan oleh kilang-kilangnya dan mencari pasaran terhadap “barangan siap” yang dihasilkan oleh kilang-kilang di Britain.
Permintaan terhadap bijih timah semakin meningkat akibat kemajuan dan perkembangan industri mengetin makanan di Eropah. Longgokan bijih timah di Cornwall England yang semakin berkurangan dan tidak bermutu telah meresahkan pihak British. Oleh sebab itu, pihak British telah memulakan campur tangannya untuk menguasai negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan kerana negeri tersebut kaya dengan bijih timah yang berkualiti tinggi. Permintaan dan harga bijih timah yang tinggi di Eropah telah menambah minat pihak British untuk campur tangan British di negeri-negeri tersebut.

b.  Masalah Huru-Hara di Negeri-Negeri Melayu

Menjelang tahun 1860-an dan 1870-an, negeri-negeri seperti Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan berada dalam keadaan tidak stabil kerana berlakunya masalah huru hara seperti perebutan takhta kerajaan, pergaduhan Kongsi Gelap Cina, masalah perlanunan dan perang saudara yang tidak terkawal.
Di Perak telah berlaku kekacauan akibat perebutan takhta antara Raja Abdullah dan Sultan Ismail selepas kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871. Keadaan bertambah rumit apabila berlakunya pergaduhan Kongsi Gelap Cina Ghee Hin dan Hai San yang telah membawa kepada berlakunya Perang Larut I, II dan III (1861-1874).
Di Selangor pula berlakunya pertelingkahan di antara Raja Abdullah dan Raja Mahadi (1867-1873) kerana merebut Daerah Klang yang kaya dengan bijih timah. Sementara itu, di Sungai Ujong telah tercetus pergaduhan antara Datuk Kelana dan Datuk Bandar berkaitan hak memunggut cukai di Sungai Linggi, Sungai Ujong.
Keadaan huru-hara yang berlaku ini telah  menjejaskan aktiviti perdagangan di Negeri-negeri Selat, mengancam keselamatan nyawa dan harta benda serta membantutkan pengeluaran bijih timah. Syarikat British di Negeri-negeri Melayu menanggung kerugian kerana mereka telah banyak melabur modal sedangkan perniagaan tidak dapat dijalankan. Justeru itu, saudagar-saudagar British di Negeri-negeri Melayu telah menghantar surat rayuan ke London, mendesak Kerajaan Inggeris supaya meluaskan kekuasaannya di Negeri-negeri Melayu agar kepentingan mereka terus terpelihara.

c.    Peranan Sir Andrew Clarke
Gambar 2: Sir Andrew Clarke
Sir Andrew Clarke telah ditugaskan untuk menyiasat masalah sebenar yang berlaku di Negeri-negeri Melayu pada November 1873. Beliau juga dikehendaki menyediakan satu laporan lengkap tentang situasi Negeri-negeri Melayu dan mencadangkan langkah-langkah yang seharusnya diambil oleh Kerajaan Inggeris bagi memulihkan keamanan serta memelihara kepentingan British di Negeri-negeri tersebut.
      Walau bagaimanapun, Sir Andrew Clarke telah bertindak melebihi arahan yang diberikan oleh Lord Kimberley. Atas inisiatif atau daya usaha sendiri, Clarke telah campur tangan di Perak pada Januari 1874 untuk menyelesaikan pertelingkahan politik yang berlaku tanpa mempedulikan arahan Pejabat Tanah Jajahan Inggeris di London. Dengan itu, bermulalah campur tangan British secara rasmi di Perak dengan termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Selepas itu British terlibat campur tangan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

d.    Faktor Kemanusiaan
Gambar 3: Sir Frank Swettenham
Sir Frank Swettenham menggunakan alasan “tanggungjawab kemanusiaan” untuk campur tangan di Negeri-negeri Melayu bagi menamatkan kekacauan sebagai jaminan keselamatan nyawa dan harta benda. Kerajaan British harus bertanggungjawab terhadap masalah di Negeri-negeri Melayu selaras dengan dasar Pax Britannica iaitu mewujudkan keamanan dalam Empayar Inggeris mulai tahun 1860-an. Justeru itu, kerajaan perlu bertindak membantu negeri-negeri yang disalahtadbirkan.
Walau bagaimanapun, faktor ini menimbulkan banyak keraguan dari pelbagai pihak. Kemungkinan besar ianya hanya “helah” pihak” British untuk campur tangan di Negeri-negeri Melayu.



Rujukan:
                  Dr. Ismail Said.(2010).Perkembangan Sejarah Negara.Selangor: Pernerbitan                         Multimedia Sdn.Bhd
                Sheela Abraham.(1993).Sejarah Perkembangan Negara.Kuala Lumpur:                          Penerbitan Fajar Bakti Sdn.Bhd