Monday, 22 September 2014

KESAN PENJAJAHAN BRITISH DI TANAH MELAYU
a.    Perkembangan sektor kesihatan bandar dan luar bandar
            Masyarakat Melayu sebelum kedatangan penjajah British kebanyakannya mengamalkan perubatan secara tradisional dan bergantung kepada pawang atau bomoh untuk mengubati penyakit. Penjajahan British di Tanah Melayu telah memperkenalkan sistem perubatan moden dengan adanya doktor, jururawat, klinik, palang merah dan pusat-pusat kesihatan. Penubuhan pusat-pusat kesihatan pada peringkat awal adalah untuk membantu mengubati pekerja-pekerja ladang dan juga penduduk tempatan yang mengidap penyakit Malaria, beri-beri, taun dan sebagainya. Walaupun pada peringkat awal ia tidak mendapat sambutan daripada penduduk Tanah Melayu, lama-kelamaan semakin ramai orang kampung telah mengunjungi dispensary atau pasukan perubatan bergerak untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan. Lama kelamaan pusat-pusat kesihatan ini telah berkembang daripada bandar ke kawasan luar bandar.

b.    Perkembangan sekolah-sekolah Vernakular Melayu dan Inggeris
                Setelah kedatangan penjajah British, beberapa sekolah vernakular diperkenalkan seperti penubuhan Penang Free School yang merupakan sekolah Inggeris pertama dibina di Tanah Melayu. Selain itu terdapat juga sekolah Melayu, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil dibina untuk kemudahan penduduk Tanah Melayu mendapatkan pendidikan. Walau bagaimanapun, kebanyakan sekolah-sekolah ini tertumpu di kawasan bandar. Manakala pendidikan tinggi bagi orang Melayu juga telah ditubuhkan oleh pihak British iaitu MCKK atau Malay College Kuala Kangsar (khas untuk golongan aristocrat Melayu) dan MPSI atau Maktab Pendidikan Sultan Idris.
  

Gambar 1: Maktab Pendidikan Sultan Idris

c.    Kewujudan kawasan bandar
              Masyarakat Tanah Melayu sebelum penjajahan British kebanyakannya tinggal di kawasan pedalaman, kampung-kampung dan juga di sepanjang sungai.. Kedatangan British telah mengubah lanskap atau demografi Tanah Melayu apabila wujudnya kawasan bandar akibat perkembangan pesat perlombongan bijih timah dan getah. Pihak British membina infrastruktur seperti kemudahan jalan raya, jalan keretapi serta pelabuhan. Kawasan ini juga dijadikan pusat pentadbiran British dengan kelengkapan telegraf, bangunan pentadbiran, sekolah dan sebagainya. Contoh bandar yang diwujudkan ialah Kuala Lumpur dan Jesselton atau Kota Kinabalu.


Gambar 2: Kuala Lumpur



Gambar 3: Jesselton atau Kota Kinabalu

c.    Kemunculan masyarakat majmuk
               Pihak British memberi ruang kepada orang Cina dan India untuk berhijrah ke negara ini pada suatu masa dahulu. Pada masa itu buruh-buruh daripada China dan India di bawa masuk ke Tanah Melayu untuk bekerja di lombong bijih timah dan ladang getah kepunyaan British. Suasana politik di negara asal yang tidak stabil menyebabkan buruh Cina dan India datang ke Tanah Melayu untuk mencari rezeki. Justeru itu, pada awal tahun 1920-an hingga 1930-an telah menyaksikan kemasukan buruh-buruh dari China dan India yang ramai ke Tanah Melayu. Bermula dari sinilah wujudnya masyarakat majmuk di Tanah Melayu dengan kehadiran orang Cina dan India yang akhirnya menjadi penduduk tetap Tanah Melayu.
 


 Gambar 4: Masyarakat Majmuk
Rujukan:
Lisa Yip Shukye & Jais bin Abdul Hamid.(2013).Sejarah Politik Malaysia Sehingga Abad Ke-20.Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd
Mohd. Zariat Abdul Rani.(2006). Kehadiran Barat Dan Kesannya Terhadap Kesusateraan Melayu. Pengajian Melayu Jld.17 


No comments:

Post a Comment